.

Rabu, 18 Januari 2012

MERENUNG ADAB MUSYAWARAH KETIKA TRAGEDI DI UHUD

 




















Tanggal 7 Syawal tahun ke-3 H, Rasulullah S.A.W dan Para Sahabat tiba dari bukit Uhud membawa duka kekalahan yang mendalam. Duka atas gugurnya 70 orang perajurit Madinah, 65 syuhada' dari Ansar, 4 syuhada' dari Muhajirin dan seorang bangsa Yahudi yang turut bersama umat Islam dalam peperangan itu. Salah seorang di antara 4 syuhada' Muhajirin itu adalah Hamzah bin Abdul Muttalib, di mana hal itulah yang menambahkan lagi kesedihan Baginda S.A.W di atas kekalahan yang diterima. Ketika kekalahan di Uhud berlaku, pelbagai versi ulasan dibual-bicarakan yang merungkai faktor utama kekalahan kaum Muslimin. Salah satu versi yang berkembang ialah kerana kaum Muslimin lebih mengutamakan syura (musyawarah) berbanding pendapat Rasulullah S.A.W sendiri.

Sebelum peristiwa Uhud terjadi, Rasulullah S.A.W telah bermimpi melihat lembu disembelih, mata pedangnya sumbing kemudian tajam semula. Mimpi tersebut ditakwilkan Baginda sebagaimana berikut, "Lembu yang disembelih menandakan ada beberapa orang Sahabat Baginda yang terkorban syahid; Mata pedang sumbing menandakan kekalahan akan berlaku, namun selepas kekalahan tersebut akan mengundang kemenangan yang lebih besar". [Rujuk Sahih Muslim No:2272]

Hal ini menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W telah diberikan alamat dari peperangan Uhud tersebut, lalu Baginda meminta Para Sahabat memberikan pendapat masing-masing dengan melakukan musyawarah sama ada mahu bertahan di Madinah atau bertempur di luar Madinah. Rasulullah S.A.W telah mengusulkan kepada Para Sahabat agar tidak pergi ke medan Uhud dan berkubu sahaja di Madinah. Abdullah Bin Ubai sependapat dengan cadangan Baginda, tetapi Para Sahabat yang terdiri dari anak muda tidak bersetuju, dan bersungguh-sungguh mahu berjihad di luar Madinah. Melihat pendapat Para Sahabat yang rata-ratanya mahu berperang di luar Madinah, Rasulullah S.A.W mengabaikan pendapatnya sendiri dan memutuskan untuk bertempur di medan terbuka.

Baginda memakai kelengkapan perang sambil di pinggangnya disarungkan pedang, sementara itu Para Sahabat tiba-tiba muncul perasaan menyesal dan serba salah kerana keputusan mereka telah menyebabkan Rasulullah S.A.W keluar ke medan Uhud. Sedangkan Rasulullah S.A.W yang meminta mereka agar bertahan sahaja di Madinah. Menyedari keterlanjuran tersebut, kaum Muslimin berkata kepada Rasulullah S.A.W, "Wahai Rasulullah, kami tidak akan menyalahkanmu. Lakukanlah apa yang Tuan kehendaki. Jika Tuan ingin menetap di Madinah, lakukanlah".
Dengan tegas Rasulullah S.A.W menjawab, "Seorang Nabi, jika sudah memakai baju besi, maka tidak patut dia menanggalkannya semula sehingga Allah memberikan keputusan antara Dia dan musuhNya".

Keputusan Para Sahabat untuk bertempur di luar Madinah bukanlah lahir dari sikap melawan terhadap keputusan Baginda S.A.W, tetapi lahir dari semangat jihad yang membara. Oleh kerana itu, keputusan Rasulullah S.A.W telah bulat dan sepakat menerima keputusan yang berpihak kepada Para Sahabat. Mereka sama-sama keluar bertempur, medannya di bukit Uhud. Inilah keputusan bersama, apapun hasilnya juga menjadi tanggungjawab bersama.

Hal yang terjadi telah terjadi, hal diputuskan telah ditaqdirkan Allah, umat Islam terpaksa menerima kekalahan walaupun pada pusingan pertama pertempuran di Uhud, bibit-bibit kemenangan memihak kepada tentera Islam. Namun, kealpaan pasukan tentera memanah menuruti arahan Rasulullah S.A.W mengundang seribu satu sebab mengapa tentera Islam tewas di medan Uhud. Baginda S.A.W turut terjatuh ke dalam lubang yang digali oleh Abu Amar Ar Rahab sehingga menyebabkan kedua-dua belah lutut terbelah luka, pipi Baginda cedera dan giginya patah. Tidak kurang juga tentera Muslim yang lain, ada yang terkorban dan rata-ratanya mengalami kecederaan dahsyat akibat serangan bertubi-tubi yang dilakukan oleh tentera Quraish dengan penuh dendam.
Lalu apabila mereka yang terselamat kembali ke Madinah dengan berita kekalahan, berkembanglah cakap-cakap mulut yang mengatakan, "Peristiwa kekalahan di Uhud itu disebabkan kaum Muslimin lebih mementingkan hasil syura daripada pendapat Rasulullah S.A.W".
Keputusan syura saat itu memang terasa pahit, antara tanda-tandanya sebelum itu lagi, terdapat sekitar 1/3 pasukan tentera Islam yang kembali ke Madinah di bawah pimpinan Abdullah bin Ubai. Alasannya kerana keberangkatan tentera Islam ke Uhud itu mengenepikan pendapatnya dan pendapat Rasulullah S.A.W yang mahu bertahan di dalam kota Madinah sahaja. Tindakan Abdullah bin Ubai itu dilakukan kononnya tidak tega menyalahi pendapat Rasulullah, padahal saat Baginda S.A.W keluar ke medan Uhud tidak pula perlindungan diberikan kepada Rasulullah.

"(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal" (Al Imran:122)

Setelah perang Uhud selesai dan keputusan telah diketahui, 'isu' ini kembali dilontarkan oleh Abdullah bin Ubai, "Kekalahan ini disebabkan kerana kaum Muslimin enggan mengikuti pendapat Muhammad, tetapi akur dengan musyawarah yang dipengaruhi oleh 'anak-anak muda'!".
Namun, teguran Allah Taala sangat berbeza dengan luahan si munafik Abdullah bin Ubai itu. Allah Taala menurunkan 80 ayat untuk menjelaskan pelbagai hal yang terjadi sebelum, saat berlangsung dan setelah perang Uhud (bermula dari ayat 120 sehingga ayat 200 dari surah Al Imran). Di antara 80 ayat itu ada satu ayat yang memerintahkan Rasulullah S.A.W supaya mengajak kaum Muslimin melaksanakan musyawarah, meskipun hasil yang bakal diterima dari majlis tersebut mengundang pahit atau manis.

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (Para Sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakal-lah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya". (Al Imran:159)

Dalam tafsir "Fi Zilalil Quran", Sayyid Qutub menyebut, "Sebenarnya, menjadi hak Rasulullah S.A.W untuk mengabaikan keputusan syura, akan tetapi Baginda tetap menjalankan syura meskipun Baginda S.A.W mengetahui apa yang tersirat di sebalik keputusan itu baik berupa kekalahan, kerugian dan pengorbanan, kerana menetapkan sebuah prinsip (prinsip syura) dapat mengajar jemaah, dan mentarbiyyah umat menanggung beban keputusan secara bersama baik berupa kemenangan mahupun kerugian yang bersifat sementara".
Hikmah dari arahan Allah supaya syura itu dilakukan kerana Islam ingin membangunkan satu umat yang ditarbiyah dan mempersiapkan diri sebagai umat contoh kepada seluruh umat manusia. Oleh itu, sebaik-baik sarana mentarbiyah umat itu adalah dengan cara melaksanakan musyawarah, kerana ia secara tidak langsung mendidik mereka dengan prinsip musyawarah dan turut melatih mereka memikul beban hasil musyawarah tersebut, kerana manusia dengan segala sifat kelemahannya tidak akan dapat mengetahui mana yang benar kecuali setelah melakukan kesalahan, mereka boleh sahaja kalah dengan emosi dan perasaan. Lantaran itu, Umat Islam tidak sepatutnya menghasilkan didikan anak bangsa seperti anak kecil yang tidak pernah dilatih berjalan dengan alasan agar tidak jatuh, namun pada akhirnya nanti anak kecil itu betul-betul tidak mampu berjalan!

Apabila Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengusulkan "Negara Berkebajikan", di sana timbul ahli yang bersetuju dan ahli yang tidak bersetuju, ada yang menerima dan ada yang membangkang. Ketahuilah bahawa setiap bangkangan dan persetujuan yang berlaku itu tiada salahnya. Ketika sesi musyawarah setiap orang berhak membangkang dan setiap orang berhak berhujjah, tetapi setelah musyawarah itu diputuskan maka wajib kita menanggungnya bersama. Oleh sebab itu, dalam sesuatu musyawarah atau perbincangan, jika ada pandangan atau idea kita ditolak, ucapan yang wajar kita sebutkan ialah "Alhamdulillah", dan jika pandangan kita diterima jangan pula merasa bangga tetapi ber"istighfar"-lah sebanyaknya, pasti ia suatu ujian buat kita.

Ramai yang terkeliru, apabila setiap perkara itu dilakukan secara syura maka setiap keputusan itu pasti sempurna, pasti tiada silapnya atau pasti berjaya, padahal bukan begitu hakikat perlaksanaan syura. Syura dilakukan adalah untuk mengajar kita merasai kejayaan, melaksanakan keputusan atau menanggung kekalahan bersama, kerana komitmen orang Mukmin pasti akan diuji Allah sama ada tergelincir ke jurang kekeliruan ataupun berjaya meragut hasilnya. Oleh itu, belajarlah adab musyawarah kerana setiap perkara yang diputuskan itu pasti mengundang risiko seumpama kekalahan di Medan Uhud ataupun kemenangan di Medan Khandak. WAllahu'alam

Tidak ada komentar:

Posting Komentar