Tahun tiap tahun selalu berganti. Saya berfikir bagaimana arah pelayaran
saya pada tahun ini. Hidup umpama sebuah kapal yang berlayar di lautan
luas, kitalah nakhoda yang mengemudi kapal, menentu arah tujuan. Kata
bijak pandai, kehidupan umpama satu pelayaran. Cubaan dan ujiannya
umpama gelombang yang sangat menggerunkan. Oleh sebab itu bahtera
kehidupan mesti kukuh. Kemudinya mesti ampuh. Jika tidak, layar patah
dan bahtera akan terolang-aleng lalu tenggelam dihempas gelombang. Jika
boleh diumpamakan bahtera itu diri kita, maka kemudinya ialah iman. Kita
tidak akan gusar betapapun hebatnya gelombang, jika kemudi di tangan
mampu mengawalnya.
Kapal
yang sekadar berada di pelabuhan tidak akan terserlah kejatidirian
sekiranya ia tidak berlayar di tengah lautan yang penuh dengan cabaran,
rintangan dan perjuangan. Tanyakan pada sang nelayan yang telah
berhujan, berpanas dan berjuang melayari kapal mereka meredah lautan
demi memenuhi keperluan kehidupan. Tatkala mereka pulang dari pelayaran,
pasti mereka akan melihat ketidakputusanasaan kapal mereka untuk terus
berbakti mencari rezeki. Esok kapal dan nelayan akan berlayar lagi.
Beruntung menjadi kapal kepada sang nelayan kerana setiap masa digunakan
untuk berkhidmat kepada tuannya. Beruntung menjadi nelayan kerana tidak
pernah lupa kepada perjuangannya, mencari rezeki buat keluarga dan
memenuhi keperluan orang lain. Kedua mereka, sang kapal dan sang nelayan
punya jatidiri, mereka bersatu menempuh lautan, meredah ombak, hujan
dan pulang ke pelabuhan dengan kecekalan.
Bagaimana
dengan kita? Ke arah mana saat ini pelayaran kita, sudah menemui jalan
pulang atau masih sesat di tengan lautan luas tanpa pedoman? Ada yang
enggan berlayar kerana takut kegagalan? Atau sedang belayar tetapi
tersadai di tengah pulau? Menjadi generasi pemuda saat ini seperti
berada di tengah lautan bergelora. Tidak percaya? Temui anak muda dan
tanyakan kepada mereka bagaimana cabaran anak muda hari ini. Baik di
bandar mahupun di desa, mereka saat ini begitu terdedah dengan
cabaran-cabaran kehidupan yang terkadang mengheret mereka hilang
kejatidirian sebagai generasi mukmin. Kadang-kadang generasi ini
mengeluh, sukar untuk menjadi anak muda beriman pada zaman keterbukaan
hari ini.
Benar
wahai anak-anak muda, hidupmu berdepan dengan cabaran. Namun bukan
zaman kita sahaja cabaran begitu besar menimpa anak muda, bahkan sejak
di zaman Rasulullah SAW lagi, generasi mudanya diuji oleh sang Penguasa
dengan pelbagai cabaran dan mehnah bagi menyerlah kejatidirian dan
ketekunan mereka dengan Islam dan keimanan. Lalu mereka tekad dan teguh
bersama Rasulullah SAW. Kuncinya adalah mereka berpegang teguh dengan
perintah Allah dan Rasulullah SAW. Inilah yang menjadi cabaran kepada
generasi anak muda hari ini, istiqamah dengan perintah Allah dan
Rasulullah SAW, malangnya suasana yang ada adalah kerosakan dan
kelonggaran kehidupan berpaksikan iman.
Allah SWT berfirman buat seluruh hambaNya:
“Dan
janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang melupakan
(perintah-perintah) Allah, lalu Allah membiarkan mereka lupa akan diri
mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.” (al-Hasyr:19)
Inilah
kebimbangan kita. Kita takut dan bimbang, bukan sahaja Allah melupakan
kita, bahkan kita sendiri lupa akan hakikat kejadian, makna kehidupan
dan halatuju hidup kita. Jadilah kita seperti sebuah kapal yang nampak
seperti hebat, indah, kuat dan cantik, malangnya ia sedang berlayar
dalam haluan kesesatan dan kefasikan. Tidak ada halatuju, tersesat dan
terus tersesat! Akhirnya jadilah kita seperti kapal yang terbiar. Derita
hidup ini kalau kehidupan sudah terbiar dari kasih sayang dan perhatian
Ilahi. Cuba bayangkan apabila Allah sudah tidak peduli akan kita, kepada Tuhan yang mana hendak kita merintih memohon pertolongan.
Anak
muda, jangan sampai kerana mahu mengecap kebebasan, menikmati
kecintaan, hiburan mahupun keseronokan, kita lupa kepada Tuhan. Lalu
amal soleh sudah tidak menjadi pakaian kehidupan yang akan menjadi
penyelamat di hari pembalasan. Mari kita bermuhasabah dengan pesanan Abu
Bakar al-Siddiq dalam khutbah beliau:
“(Insaflah)
hari demi hari berlalu kamu semua semakin dekat dengan ajal yang pasti.
Sesiapa yang mampu biarlah umurnya dihabiskan untuk melaksanakan
perintah Allah. Namun kalian tidak dapat berbuat demikian melainkan
dengan izin Allah. Malangnya ada juga segelintir kamu yang menghabiskan
umur bukan untuk Allah tetapi (untuk melakukan kerja sia-sia) yang lain
daripada Allah. Jangankamu ikut jejak langkah mereka. Allah berfirman
(maksudnya); “Janganlah Kami jadikan kamu seperti orang-orang yang
melupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa diri mereka sendiri.”
Abu Bakar al-Siddiq menambah lagi:
Tahukah
kamu di mana sahabat-sahabat kamu yang telah (kembali kerahmatullah).
Mereka semua sedang berhadapan dengan hari perhitungan terhadap segala
amalan yang telah mereka lakukan. Ada yang bahagia serta ada pula yang
malang dan celaka. Ke mana perginya
manusia perkasa pembina Bandar dan Kota, pembangun benteng dan tembok
pertahanan. Mereka semua telah terbujur kaku di bawah timbunan batu atau
dihanyuti air lalu. Tapi (bersama kita) adalah kitab Allah.
Keajaibannya tidak akan usang. Ambillah bekalan cahaya darinya untuk
kegunaan hari kegelapan (kiamat). Sinarilah kehidupan kamu semua dengan
sinar keterangan.”
Alhamdulillah,
Abu Bakar a-Siddiq telah menjawab persoalan pelajaran kehidupan kita.
Anda pilihlah ke mana pelayaran kehidupan anda, samada bersama dengan
Allah atau melupakan Allah dan diri kita sendiri. Al Quran menjadi
kompas kehidupan agar tidak sesat dalam pelayaran, janganlah tinggalkan
Al Quran, dan jangan sekali-kali melihat Al Quran seperti majalah
hiburan dan sukan. Sesat dan bergelumangnya kita dengan dosa dek kerana
Al Quran sudah tidak menjadi paksi kehidupan. Bersegeralah tahun ini
kita berlayar berpaksikan wahyu Ilahi, bukan mengikut jejak nafsu dan
emosi negatif. Tidak salah kita bercita-cita tinggi meraih kejayaan di
dunia kerana dunia adalah tempat kita bekerja meraih kejayaan di
akhirat. Ya, miliki tekad, raih kecemerlangan kehidupan berpaksikan Al
Quran, ia akan membawa kebaikan kepada kita di dunia dan akhirat.
Berlayar dengan kejatidirian sebagai pemuda rabbani yang cintakan Ilahi
tertinggi, rempuh segala cabaran bersama petunjuk dan hidayah Ilahi yang
sedia memberi, maju meredah lautan badai dengan cita-cita meraih syurga
bersama bidadari yang sedang menanti! Berlayarlah saat ini dengan
ketekunan iman dan meninggalkan kefasadan. Selamat belayar wahai pemuda!
Edditing for:
http://usrahkeluarga.blogspot.com
Labels: Motivasi Kehidupan, Muhasabah
Foto Puisi: http://bektipatria.wordpress.com
Edditing for:
http://usrahkeluarga.blogspot.com
Labels: Motivasi Kehidupan, Muhasabah
Foto Puisi: http://bektipatria.wordpress.com
Tidak ada komentar:
Posting Komentar